Skip to main content

Kuala Lumpur, 13 Julai 2015 – Dagang NeXchange Berhad (“DNeX”) menjayakan beberapa Program Komuniti di bulan Ramadan tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat yang tertumpu kepada menghulur bantuan bagi mereka yang kurang bernasib baik.

DNeX memulakan Program Komuniti Ramadan dengan menganjurkan Bazar Amal di pejabatnya yang terletak di Bangsar South. Bazar Amal tersebut menawarkan pelbagai barangan makanan, kuih muih, pakaian serta persiapan rumah untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Barangan yang dijual di Bazar Amal juga termasuk buku-buku dan tanaman bunga, pokok serta pasu bunga dari nurseri tanaman Pusat Jagaan Baitul Hidayah, sebuah rumah jagaan untuk anak yatim, kanak-kanak yang ditinggalkan keluarga dan ibu tunggal di Puchong. Hasil jualan dari Bazar Amal akan disalurkan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dari beberapa rumah jagaan dan sekolah di Lembah Klang. Bazar Amal diikuti pula dengan Program Berbuka Puasa dan Solat Tarawikh bersama penghuni Pusat Jagaan Baitul Hidayah.

Program Komuniti Ramadan DNeX tahun ini berakhir dengan acara membeli belah anjuran bersama dengan Yayasan Bunga Raya untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri bagi sekumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik dari tiga buah sekolah iaitu SK Bandar Tun Hussein Onn, SMK Perdana dan SK Cheras Taman Desa Baiduri. Pakaian dan kasut baharu serta duit raya sedikit sebanyak dapat menggembirakan kanak-kanak ini dalam persiapaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Program Komuniti DNeX dapat memberi peluang kepasa syarikat untuk menseimbangkan objektif perniagaan dengan tanggungjawab komuniti. Program Komuniti DNeX dalam tahun-tahun kebelakangan ini termasuk:

  • menyedia bantuan kepada Aljamiyatul Washliyah, rumah anak yatim di Medan, Indonesia yang menempatkan lebih kurang 500 kanak-kanak
  • menyediakan bantuan kepada beberapa institusi seluruh negara bagi membolehkan kanak-kanak kurang bernasib baik mendapat akses kepada pendidikan dan memaksimumkan potensi pertumbuhan mereka
  • menyediakan peralatan sekolah kepada sekumpulan anak-anak orang Asli serta buku untuk perpustakaan sekolah
  • bekerjasama dengan Badan Kebajikan Islam Kastam (BAKISKA) sejak 2007 untuk menyediakan peralatan kembali ke sekolah seperti pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis